Dasawarsa ini, acapkali kedengaran
kes berkenaan bayi di merata – rata tempat. Kes pembuangan bayi, pembunuhan
bayi dan sebagainya. Aku yang melihat keadaan bayi – bayi malang tersebut
berasa amat sedih. Terdetik dalam hatiku, ‘ Tiada lagikah perasaan belas
kasihan sesama insan? Apakah hati mereka telah digantikan dengan hati binatang?
Aku lihat binatang misalnya kucing pun sayangkan anak mereka.’
Namun itu cuma luahan hati. Tidak
dapat rasanya untuk diungkapkan dengan mulut ini sendiri. Hendak ditegur
jawabnya ‘kubur sendiri – sendirilah. Yang kau nak senak, apa hal?’ Memang
kubur sendiri – sendiri, namun kelak awak akan menyusahkan penghuni kubur awak
di sebelah dengan keperitan seksaan kubur yang sebenarnya dituju kepada
awak. Nauzubillahi min zalik. Harap
perkara ini dapat dijauhkan daripada diriku ini.
Ya Allah, apakah dosa yang telah
dilakukan oleh anak tersebut? Apakah dosanya yang membuatkan ibu bapanya
sendiri tega melakukan dia seperti itu? Pada pandangan aku, tiada. Sebaliknya,
ibu bapa anak itulah yang berdosa! Ikutkan kata hati yang ingin berseronok,
beginilah yang terjadi akhirnya. Pergaulan bebas, cabul, lucah dan zina yang
sudah sebati dalam diri akhirnya memberikan natijah buat diri sendiri.
Apabila berlaku begini, hendak
salahkan siapa? Jangan tuding jari sebelum cermin diri sendiri. Lihatlah.
Ubahlah. Sesungguhnya, manusia tidak akan kekal dengan sifatnya. Yang baik
boleh menjadi jahat dan begitulah sebaliknya. Ingatlah, ‘ setiap kebaikan tidak
semestinya bermula dengan kebaikan.’
Wahai remaja, ingatlah! Lahirnya
mereka ke dunia bukan atas kehendak mereka. Justeru, nafsu serakah awaklah yang
meminta kehadiran mereka. Apa yang aku dapati, sebaik sahaja mereka lahir, awak
campak dia. Awak buang dia. Awak bakar dia. Ketahuilah, setiap perbuatan awak
pasti ada karmanya. Mana tahu pada masa akan datang, awak pula yang dilayan
seperti sampah? Mahukah awak dilayan seperti sampah? Sudah pasti tidak, bukan?
Sewajarnya, apabila lahirnya
mereka ke dunia, janganlah dibuang. Belalah mereka, jagalah mereka dan rawatlah
mereka. Jadikan mereka sebagai tunjang untuk awak tidak mengulangi perbuatan
itu lagi. Inshaallah, awak akan berubah ke arah yang lebih baik jika niat
kerana Allah diselitkan dalam sanubari. Inshaallah, anak itu akan memberi
kebahagiaan buat awak. Seperti yang kita biasa dengar, anak itukan rezeki?
Sekurang – kurangnya, hantarlah
mereka ke pusat kebajikan. Namun, janganlah dilakukan dengan cara yang tidak
sepatutnya. Takut – takut, ia akan
mendatangkan mudarat kepada diri sendiri pula. Inshaallah, di sana, makan dan
minum serta kebajikan mereka akan terjaga. Dan awak dapat hindari diri daripada
melakukan dosa. Bukankah itu lebih baik daripada menjadi seorang pembunuh?
Wahai remaja sekalian, ingin aku seru
kepada kalian melalui coretan ini, jauhilah pergaulan bebas. Bak kata guruku,
‘mula – mula pegang tangan, tahu – tahu saja sudah ada bayi.’ Jangan hiraukan
keseronokan di dunia, kerana ia bersifat sementara. Sebaliknya kejarlah
keseronokan abadi, keseronokan yang sentiasa berada di bawah naungan
rahmat-Nya. Kejarlah, awak tak akan rugi.
- Nakashima Koharu-
Comments
Post a Comment