Skip to main content

Corat-coret Kehidupan: 母と父 [Haha to Chichi]

Kian berhabuk blog ini.


Alhamdulillah, masih lagi diberi nafas untuk meneruskan tanggungjawab as a vicegerent of Allah pada hari ini. Walaupun terlampau banyak cacat celanya, tetapi diri ini sudah cuba melakukan yang terbaik. Hari esok, tiadalah kita pasti apa mungkin Allah masih sudi meminjamkan nikmat kehidupan nan sementara ini atau tidak. Tiadalah kita pasti apa esok lebih baik ataupun tidak.


Lama benar rasanya tidak bermadah pujangga, tidak berpuitis, tidak menghasilkan penulisan bahasa Melayu. Barangkali sahaja bahasa Melayuku kian dijajah oleh bahasa penjajah negara ini sejak kaki melangkah masuk ke alma mater ini - IIUM. 


Sungguh, rindu benar ingin menggunakan bahasa Melayu yang gramatis untuk blog ini. Rindu benar ingin mengarang cerpen. Apakan daya, umur kian meningkat, idea kian hilang. Ketajaman fikiran dirasakan makin tumpul. Akal dirasakan tidak mampu lagi menghasilkan buah-buah fikiran yang bombastik - lihatlah, bahasa Melayu sahaja sudah semakin dimamah arus pemodenan.


Cukup panjang bukan pendahuluannya? Hahahaha.


Mengapa begini sekali pendahuluannya?


Begini.

Aku terasa ingin sekali menjadi ibu bapa seperti ibu dan ayah aku. Alhamdulillah, berkat mereka, aku menjadi diri aku yang sekarang ini. Alhamdulilah, sehingga kini, kalau aku kepingin melakukan apa-apa, perkara pertama yang terlintas dalam benak aku ialah, apakah reaksi kedua-dua ibu bapa aku?

Kalau tidak kerana mereka yang menanamkan budaya membaca dalam diriku, sudah pasti aku keciciran. Kalau bukan kerana ayah menghadiahkan aku sebuah ensiklopedia untuk dihabiskan sebagai hadiah kecemerlangan UPKK dulu, sudah pasti aku tidak berupaya hidup dalam kursus aku sekarang, yang mana ia amat memerlukan keupayaan seseorang itu untuk membaca.

Kalau bukan kerana ibu dan ayah sentiasa tasmik aku dengan sifir, sudah pasti otak aku tumpul dengan kira-kira. Bagi aku, sekolah merupakan "penambah perisa" sahaja dalam semua yang aku perolehi, segala-galanya bermula daripada ibu bapa aku (Sudah pastilah daripada Allah yang menyalurkan semua ilham kepada ibu bapaku.)


Ibu bapa aku MUNGKIN lain daripada ibu bapa era kini. Mungkin juga tidak. Aku dibesarkan dengan cara kampung, kerana latar belakang kami yang dari kampung (meski kami duduk di kawasan perumahan)

Rotan? Sangat lali dengan aku. Sementelah kaki menjejak ke alam dewasa, barulah ibu dan ayah memainkan peranan mereka umpama teman.

Badan aku acapkali berbirat dek penangan si rotan yang merupakan sahabat karib ibu bapaku dulu. Ada yang jenis halus, kasar, hurm you name it.


Sangat berbekas dalam fikiran aku di mana setiap kali pulang ke kampung, ibu sangat mengawasi tingkah laku kami. Saat pulang semula ke rumah merupakan saat-saat yang paling tidak dinanti, kerana kau bakal dihukum serta dibicarakan segala kesalahan kau semasa di kampung.

Sesampainya kami di rumah, sudah biasa, ruang tamu menjadi saksi bisu kami dirotan di telapak tangan. Ibu atau ayah akan sebut apa kesalahan kami semasa di kampung, jadinya kami belajar untuk sentiasa awasi tingkah laku kami setiap kali di kampung. Berpuas hati dengan kami, maka "ritual" ini tidak lagi diteruskan sementelah aku menjadi pelajar Darjah 5.

Aku sangat nakal waktu kecil dahulu, rata-rata ahli keluarga aku sangat rimas setiap kali aku dititip untuk dijaga. Bukannya apa, mulutku sangat lancang, perangai? Usah dibilang, nakal dan menyebalkan ya ampun. Walaupun begitu, adikku Ajai berada di tangga pertama, namun dia bijak menyembunyikan kenakalan, yang terzahir hanyalah kenakalan aku HAHAHAHA.

Pun begitu, senakal-nakal aku, ibu dan ayah tak pernah kurangkan kasih sayang mereka terhadap aku. Aku ibarat anak emas dalam keluarga bilamana aku sentiasa meraih tempat pertama semasa berada di sekolah rendah, sekolah menengah juga begitu. Aku berasa amat bangga bilamana aku berjaya buktikan anak nakal ini mampu membuatkan kedua mereka tersenyum bangga. Alhamdulillah.

Namun begitu, bangga tetap bangga. Perangai tidak dijaga, siap!

Ibu

Antara perkara yang paling nakal yang sehingga kini aku tak boleh lupakan ialah, aku gemar bermain di padang bersama Ajai, ibu sentiasa ingatkan kami agar pulang sebelum jam 7 petang. Tetapi, apalah sangat arahan itu andai hanyut dalam keseronokan bermain. Acapkali kami pulang lewat, kadang-kadang 7.10 atau 7.15 kami tiba di rumah.

Seingat aku, adik aku, Nena, yang ketika itu menggalas title sebagai yang terbongsu, memang gemar menjadi batu api HAHAHAHAHA.Dia yang selalu menjadi reporter tidak berbayar bagi melaporkan segala tindak-tanduk kami. Dia juga gemar dan gembira mungkin melihat kami didenda. Apa dendanya?


"Korang jangan masuk rumah selagi ayah tak balik!" ya, ibuku memetir setiap kali mengucapkan ayat itu. Ayah pula memang sentiasa tiba di rumah menghampiri jam 8. HAHAHAHA, seperti biasa, bangku berwarna biru menjadi tempat bagi mengalas punggung kami. Pun begitu, masih lagi tak serik, kami main pula pondok-pondok di situ. Bila ibu menjengah tengok siapa yang bising, pandai pula kami diam.

Ada satu hari di mana kami penat lah kononnya, kerana ibu selalu denda kami, aku mengutarakan cadangan lari dari rumah. Kononnyalah.

Tetapi, saat tangan baru memegang pintu pagar,

"KORANG NAK PERGI MANA TUUUU?" tu diaaa.

Ibu aku sound dari dalam rumah. Kami pun menoleh ke belakang, dapatlah kami menyaksikan muka ibu yang menyinga bersama...

Nena yang kepuasan melihat kami dimarahi. Kalau dahulu, wajah itu serasa ingin aku pulas-pulas dan aku henyak-henyak atas kerusi. Dasar batu api! HAHAHAHAHAA.
Pernah juga satu ketika, ibu kebiasaannya akan letak duit dalam satu pouch warna merah ni, kebiasaannya setiap kali ingin membeli barang basah, ibu memang sudah bersedia dengan wang berkenaan. Ibuku merupakan perancang ekonomi yang bijak dalam keluarga, seringkali aku menyertai ibu semasa ibu membuat kira-kira, namun kini kerana ibu kian dimamah usia, ibu tidak lagi meneruskan aktiviti ini.


Berbalik kepada kisah wang tadi, ada satu hari, aku mengambil RM 2 daripada pouch berkenaan, sudahlah tidak minta kebenaran, malah aku siap belanja kawan lagi. Ajai pun join sekaki dengan aku. Entah macam manalah aku boleh selamba sahaja ambil duit itu, tak teringat pun bahawa perlakuan aku itu umpama menjolok sarang tebuan. Ish ish ish.


Setibanya di rumah, hurm. Ibu sudah menunggu di hadapan pintu grill bersama teman baiknya - si rotan. Maka, usai sesi interrogate, aku dan Ajai menerima hukuman yang maha dahsyat aku kira waktu itu. Dirotan berasingan dalam bilik tengah (bilik ni kami panggil bilik sembahyang). Sakit, pedih, ngilu, semua lengkap. Berbekas pula tu. Macam biasa, ayah menjadi penenang, tapi pada masa yang sama kena setepek nasihat. HAHAHAHAHA. Tetapi yang seronoknya, selepas sesi rotan itu, ibu pergi ke arah kami, menyapu ubat gamat pada badan kami yang berbirat, sambil memujuk-mujuk kami (hatta sehingga kini, aku merupakan orang yang sangat sensitif, jadi mohon jangan hakimi aku haha)


Bermula daripada peristiwa itu, aku belajar, hatta sekecil-kecil perkara pun, mintalah izin.


Sesungguhnya, kasih ibu memang membawa ke syurga.


Sehingga kini, ibu memang masih lagi menyuap kami adik-beradik, punyalah keras usaha ibu nak wujudkan bonding dengan anak-anak, daripada kami kecil memang ibu rajin menyuap kami. Sedapnya tidak terkata. Lain macam auranya! Perkara yang menyebabkan aku sangat-sangat terharu ialah, bilamana aku sangat lambat ke mana-mana acara dan tidak sempat menjamah sarapan, ibu memang paksa aku makan - dengan menyuapkan makanan tersebut. Dan amalan ni masih lagi berjalan sehingga kini. Nikmat apa lagilah aku nak dustakan?
Belum lagi kalau ingin dibilang dari kecil apa yang ibu buat untuk kami, tidak terbilang rasanya. Potong kuku kami, korekkan telinga kami, orang yang susah hati dan berjaga malam waktu kami sakit, masak lauk sedap-sedap untuk kami, pujuk kami ketika kami merajuk, sangat prihatin akan kesihatan dan gigi anak-anaknya. Setiap kali sang anak mengongoi rindukan lauk rumah, sanggup diposnya sambal buat pengubat rindu. Walau tiada kemewahan, tetapi bagi aku ia sangat lengkap. I can feel the affection, the honesty that came from my mother. 


Teringat lagi di mana aku sangat culas bertemu doktor mengenai ketumbuhan aku dulu, ibulah yang paling risau. Janji temu di hospital Selayang aku abaikan, usai tamat pengajian di Darul Quran, ibu bertanyakan kembali hal itu. Berbakul-bakul bebelan aku terima bilamana aku menyatakan yang aku memang tidak pergi langsung ke janji temu yang ditetapkan. Ketumbuhan pula makin besar walau pada awalnya bermula dengan saiz sebesar 50 sen duit syiling baru sahaja. Badan pula semakin sakit kerana menanggung bebanan di dada.


Memang ibu langsung telefon ayah, minta ayah pulang dari mana-mana entah masa tu (ayah aku umpama YB guys, sentiasa sibuk HAHAHAHA) demi membincangkan masalah aku. Kerana ibu, keesokannya aku dibawa terus berjumpa pakar. Seperti biasa, kenyang aku dengan bebelan ibu. Dalam masa sebulan, proses ultrasound, pengambilan sampel, sehinggalah pembedahan, semua berjalan dengan jayanya. Buat pertama kali, aku menjalani operasi yang sangat lama, diberi bius penuh dan doktor berjaya keluarkan satu ketumbuhan bersaiz 10x10x5 cm.


Post-operation, ibu: Kalau tak disuruh, entah besar manalah ketumbuhan tu nanti yek.


Aku: Hurm, yalah ibu, baik. *sengih


Beraya aku bersama luka jahitan. Padan muka.


Allah, nikmat apa lagi yang mahu aku dustakan? Andainya sewaktu kecil dahulu pemikiran aku sebegini, sudah pasti ibu takkan banyak menangis kerana aku.


Ayah
Insan yang berhati waja, umpama kesatria, kalah segala superhero Marvel.


Seorang yang sangat bijak menyembunyikan kesedihan di sebalik lawak dan perangai menyakatnya.


Seorang ayah yang mungkin nampak garang, tetapi dialah yang paling lembut dan tisu hatinya.


Ayah sangat tenang orangnya, jika ibu membebel, dia hanya diam. Mendengar, barulah diutarakan buah fikirannya. Ayah seorang yang jarang merotan, hanya akan merotan kalau betul-betul perbuatan kami melampau. Setiap kali ayah menyinga, ya ampun. Kala itu, aku akan berharap punyai cengkerang seperti kura-kura.


Ingat lagi, ayah suka pura-pura marah setiap kali mendengarkan aku membaca sifir kepadanya. Dan perkara itu membuatkan aku ingat sifir. Kadang geram juga bila tahu hakikat sebenarnya ayah memang sengaja menyakat. 
Di kala yang lain mendapat gajet sebagai hadiah kecemerlangan, ayah beri buku. Paling menggamit memori, ayah hadiahkan buku interaktif (yang ada bunyi setiap kali kita tunjuk guna pen stylus tu) dan ensiklopedia haiwan untuk dihabiskan.


Ayah sangat mengutamakan keselesaan anak-anaknya. Sediakan kami dengan kemudahan komputer, malah ayah yang perkenalkan aku dengan dunia teknologi, pabila asasnya sudah kukuh, ayah biar aku mengeksplorasi dunia IT sendiri. Ayah juga yang tanamkan minat aku dengan saluran-saluran ilmiah, cth Discovery Channel, History, Nat Geo, ala saluran yang bermula dengan pangkal 5 tu HAHAHAHA.


Oh tidak dilupa, ayahlah pencetus kepada minat aku terhadap anime. Naruto? Initial D? Bleach? Itu angkara ayah, HAHAHAHAHA.


Setiap kali kami mengadu yang cikgu suka suruh kami melakukan macam-macam, ayat kegemaran ayah pasti akan keluar. "Bak tang nombor sekolah, esok ayah datang jumpa cikgu kau tu." Hakikatnya, tak jumpa pun HAHAHAHAHA.


Ayah seorang yang sangat pandai memasak, tetapi bak kata ibu, "Kalau dah namanya malas, memang sampai ke sudahlah kebulur." Biasalah, sudah namanya lelaki, memang selalulah nampak ayah mengada-ngada nak makan itu ini. Comel sungguh hubungan mereka. Ibu dan ayah selalu gaduh-gaduh manja, biasanya ayahlah kuat menyakat ibu sebab ibu cenderung untuk hasilkan perkataan baru setiap kali marah. HAHAHAHAHA, dan seperti biasa, ayah akan menganjing.


 Well, ayah sangat bertanggungjawab orangnya. Aku dapat saksikan sewaktu ibu lahirkan Mimi dulu, ayahlah orang yak tak tidur, ayah yang jadi Mr. Mama, dan hasil kerja ayah, sangat sempurna. Kalau ayah kemas rumah, memang berkilat.


Ya, ayah aku sangat perfectionist orangnya.


Setiap kali anak-anaknya ditimpa musibah, ayahlah orang yang susah hati.


Sanggup ayah dapat rekod merah untuk kedatangan kerjanya kerana kami, usung kami ke sana ke mari bagi dapatkan rawatan. Setiap kali perut aku kembung, ayahlah yang selalu tepukkan perut aku sambil selawat. Macam-macam sangat benda yang ayah buat. Belikan sup panas dari kedai Siam setiap kali anakya mengadu nak demam (belum demam lagi tu)
Setiap kali ayah pulang lewat, selalu sangat ayah belikan makanan, cth burger atau sate, segala jenis masakan panas itulah.


Walhal wang di dalam dompetnya mungkin berbaki hanya RM 10.


Tetapi, ayah bahagia. Ayah sanggup, asal ayah dapat melihat senyuman terukir di bibir anak-anaknya. Ayah rasa puas setiap kali anak-anaknya berebut mahu makan makanan yang dibelinya. Mulia sungguh hati ayah.


Nikmat mana lagilah yang aku ingin dustakan? Tetapi, semasa kecil dulu, selalu aku lihat kemewahan sebagai ukuran tanda kasih sayang.


Dangkalnyalah aku dulu.


Antara kenangan manis yang sangat aku tak boleh lupakan ialah,
Ayah dukung aku di tangan kanan ayah, Ajai di tangan kiri dan Nena di tengkuknya,, membawa kami ke bilik peraduan kami bertiga. Ayah pasangkan kelambu untuk kami, kemudian layan celoteh kami sebelum kami tidur.


Ayah lakukan semata-mata ingin kami tidur.


Ayah juga antara insan yang sanggup korbankan nyawanya bilamana setiap kali di jalanan, acapkali ayah langgar lampu isyarat supaya aku sempat tiba di asrama sebelum waktunya. Aku pula hanya tahu mendesak agar tiba segera di asrama. Dasar.


Semasa aku di CFS dulu, ayahlah insan yang sanggup bertolak dari Melaka jam 10.00 malam, redah kegelapan malam, semata-mata mahu menjemput aku yang sudah hampir seminggu demam. Ayahlah orang yang susah hati setiap kali aku mengadu perkara buruk, sewaktu aku mengadu diekori jantan keparat mana entah sewaktu di KCM dulu.


Bak kata ayah, "Kalau ayah ni Superman, lama dah ayah terbang ambil anak ayah ni, bawa jauh-jauh daripada lelaki tu."


Ayah aku seorang yang sangat protective. He is my guardian angel. Tanpa ayah, aku takkan rasa selamatnya dunia ni. Wallahi.


Setiap kali aku tidur lewat, ayah selalu bebel kepada aku. Katanya nanti mata rosak, lepas itu terhegeh-hegeh nak update power kaca mata. Waktu kecil dulu, ayah selalu marah kalau aku membaca dalam gelap, tapi aku tahu marah itu kerana sayang.

Namun,ada satu peristiwa ini. Di mana...

Sehingga kini, walau ayah memaafkan aku, aku masih lagi tidak boleh memaafkan diri atas kesilapan yang bagi aku, sangat sangat besar pada hari pertama pendaftaran bulan 9 yang lalu.


Aku merajuk dengan ayah sebab ayah aku marah aku depan nenek aku. Punca macam biasalah, lalai, letak telefon entah ke mana. Terang-teranganlah aku yang bersalah. Tetapi, aku anggap ayah aku aibkan aku depan nenek aku. Daripada dalam kereta, aku terus naik ke bilik aku kata kepada ayah, "Ayah baliklah, kakak tak nak makan," walhal sebelumnya sudah berjanji mahu makan tengah hari bersama.


Ayah telefon, aku reject. Aku biar. Entah berapa kali agaknya telefon itu berdering.


Lepas itu aku gagahkan jua, angkat, dapat aku dengar nada sayu ayah. Sekeras mana pun ayah, ayah tetap akan kalah pabila melibatkan keluarga. Ayah kata, "Turunlah, ayah penat tunggu ni. Kakak tak kesiankan ayah ke?"


Sampai sekarang masih lagi berbekas dalam benak aku ayat itu.


Aku turun, aku ikut ayah. Sampai di restoran ABC, aku ignore ayah kaw-kaw. Ayah cuba tanya macam-macam tapi aku abaikan. Kerana ego, aku dah lukakan hati tua ayah aku. Kerana aku bersikeras tak mahu menjamah makanan berat dan memilih makan kuih sahaja, ayah pun buat benda yang sama. Walhal, ayah tak makan lagi hari itu, Jahatnya aku.
Sementelah ayah pergi, aku cepat-cepat memohon ampun dengan ayah, risau takut-takut kerana keterlanjuran aku, keluarga aku diapa-apakan. Ayah memang ampunkan aku, tapi sehingga kini, aku masih belum boleh memaafkan diri sendiri. 


Kerana apa?


Ayah dah lakukan segalanya untuk aku, tetapi pabila ayah tergoreskan hati aku ni sedikit, cepat pula aku melatah, menghukum ayah begitu. Jika pada hari berkenaan jadi apa-apa kepada keluarga aku, mungkin agaknya sehingga kini aku akan cederakan diri sendiri, bunuh diri barangkali.


Ya Allah, kurniakanlah darjat tertinggi dalam jannah-Mu untuk kedua ibu bapaku, haramkanlah bagi mereka api neraka-Mu ya Allah.


Buat insan yang teristimewa,


Wahai cinta hati saya,


Terima kasih atas segala-galanya, sungguh nilai pengorbanan kalian tidak bisa ditukar ganti dengan mata wang ringgit, dolar, pound-sterling dan sebagainya.


Maafkan anakmu ini andai dahulu tidak mengerti setiap tindak-tanduk kalian. Maafkan anakmu ini kerana mengukur nilai kasih sayang melalui kemewahan, maafkan anakmu ini kerana sentiasa menyusahkan, sentiasa menggores hati kalian yang kian dimamah usia.
 Maafkan anakmu ini kerana terlalu egois, terlalu mengikut kata hati dan perasaan. Maafkan anakmu ini, kerana membuat hari-hari kalian berantakan dengan adanya diri ini.


Ibu, ayah,
Sungguh kasih sayang kalian tiada galang gantinya, tiadalah dapat anakmu ini membayarnya. Akan ku pastikan hafazan al-Quran ini terus bertakhta di hati, agar kita bisa bertemu kembali di sana. Maafkan anakmu ini kerana belum mampu lagi menganugerahkan pencapaian yang terhebat, biarpun dalam Hifzul Quran mahupun di alma mater yang sekarang.


Ibu, ayah,
Terima kasih kerana sanggup mencemarkan tangan-tangan kalian dengan pelbagai kerja berat, demi memastikan kelangsungan hidup kami, demi memastikan hari-hari yang kami tempuhi dilalui dengan bahagia, meski usaha kalian kadang-kadang melalui kegagalan.


Ibu, ayah,
Terima kasih kerana sanggup menanggung anakmu ini, membela anak ini, melayan kerenah dan ragam anak ini, belum kira lagi anak-anak yang lain. Sungguh, tanpa kalian, anakmu ini umpama rumpai-rumpai yang terapung di permukaan lautan, tiada arah tuju, tidak tentu nasibnya, sama ada terus terapung, atau dimamah oleh hidupan akuatik yang lain.


Terima kasih ibu, ayah. Andai jasad ini tiada lagi di bumi, ingin kalian tahu bahawa anakmu ini sentiasa, dan akan sentiasa menyayangi kalian.


Cinta kalian tetap beraja di hati. Pengorbanan kalian tidak akan dipandang sepi. Kasih kalian terpahat sampai mati. Arigatou, okaa-san, oto-san.


Moga-moga sempat aku membalas jasa kalian. Mudah-mudahan aku bisa menjadi ibu bapa seperti kalian, my supermom and superdad !


Sekian.

Nisa, 3:55 a.m.
IIUM Kuantan, Kuantan, Pahang.
p/s: Haha - ibu, Chichi - ayah.

Comments

Popular posts from this blog

Judge By Its Cover (Err sesuai ke?)

Aku pelikla dengan people nowadays nie. Suka sangat judge orang dari segi luarannya. Tak delah, aku selalu menghadapi situation macam ni. Pergi beli barang orang layan macam hampeh je sebab pakaian aku ialah baju kurung and tudung labuh. Eh selalulah macam ni! Apa masalahnya kalau aku nak pakai baju kurung pun? Pahal? Kolot ker? Selekeh ker? At least aku tutup aurat.. Hmm, maklumlah dah akhir zaman kan? Harap-harap aku terhindar dari sifat begini. Chow dulu! Assalamualaikum~

Lelah.

Lelah, aku memang lelah. Lelah kerana menghadapi  keadaan ini. Penat, memang penat. Penat kerana menghadapi dikau yang tidak tahu menghargai. Aku tertanya, apakah kau akan sedih jika aku tiada lagi di sini? Hari ini. Aku telah menemui jawapannya. Hari ini juga, Aku telah mengetahui  apa yang tersirat di hatimu. Tidak mengapa, aku berdoa agar  kau akan memahamiku. Tidak kira lambat mahupun cepat. -Nisa-

Dan Kerana Tuhanmu, Bersabarlah.

Hari ini aku nak cerita sedikit tentang kesabaran. Selama lebih kurang sebulan setelah aku berjumpa dengan doktor berkenaan masalah kesihatan mental aku, aku belajar satu perkara, yakni, sabar. Sabar, kerana penyembuhan ini merupakan suatu proses. Sabar, kerana berjumpa doktor sekali tidak menjanjikan aku terus sembuh. Sabar, kerana berjumpa doktor tidak bermakna aku tidak akan diserang lagi. Aku nak cerita sedikitlah mengenai pengalaman pertama aku dengan janji temu di klinik psikiatri, pada awalnya, aku sangat look forward dengan sesi tersebut, sebab, yalah, tak sabar nak sembuh kan? Tapi pengalaman pertama aku tidak berakhir dengan baik. Aku gagal menyampaikan cerita aku dengan baik, dan aku rasa doktor tu pun macam rasa aku ni mereka-reka cerita, and the fact that too many interruption while I was talking really really makes me pissed off. Akibatnya, aku pulang dengan rasa drain yang memuncak dan aku merasainya sehingga detik ini, detik di mana aku sedang menaip ini. Dr sambung pre...